Wednesday, July 29, 2009

Cara Penjagaan Rambut Sihat

RAMBUT anda harus dipelihara kerana ia bukan sahaja dianggap sebagai mahkota kecantikan malahan juga boleh menceritakan keadaan tubuh anda, sama ada anda sihat atau sebaliknya. Sekiranya anda sakit, mengalami tekanan, keletihan dan tidak berselera, kesannya dapat dilihat pada rambut.
Anda seharusnya mengamalkan cara-cara pemakanan yang baik dan mengambil zat-zat yang diperlukan untuk mendapatkan rambut yang sihat. Ini adalah kerana untuk mendapatkan rambut yang sihat bersinar bukanlah setakat menukar jenama syampu sahaja.
Rambut yang terlalu berminyak dan tidak bermaya, mungkin disebabkan oleh pembuangan toksin di dalam badan yang lemah, peredaran darah terganggu dan kurang pengambilan air.
Untuk mendapatkan sel rambut yang sihat, apa yang diperlukan adalah makanan yang benar-benar berkhasiat, banyakkan meminum air dan juga sistem penghadaman yang baik. Seperti tubuh anda, rambut juga perlu makanan yang berkhasiat. Oleh sebab inilah anda perlu menjamu rambut anda itu dengan makanan yang terbaik.
Makanan-makanan yang boleh membantu anda mendapatkan rambut yang sihat bersinar adalah seperti berikut:







  • Susu masam atau dadih. Anda boleh membuatnya sendiri atau membelinya di pasar raya.



  • Mengamalkan pemakanan sayur-sayuran segar yang dijadikan ulam (vegetable salad) dan juga buah-buahan.



  • Menggunakan minyak seperti minyak zaitun atau minyak bijan sebagai perasa untuk ulam sayur-sayuran anda. Anda diingatkan untuk tidak menggunakan minyak-minyak ini untuk menumis kerana ini akan mengubah struktur kimia yang terdapat di dalamnya dan menjadikannya tidak berkhasiat.



  • Memakan kekacang seperti biji rami (linseeds), badam atau kacang tanah dan lain-lain. Ataupun memakan bijirin-bijirin daripada bunga matahari, labu dan ini termasuk juga biji bijan.



  • Memakan rumpai air (seaweed).



  • Makanan berbijirin seperti oat atau beras perang dan termasuk juga bijirin-bijirin daripada tumbuh-tumbuhan (buckwheat/millet).



  • Memakan ikan yang berminyak seperti ikan salmon, tuna, tenggiri dan juga sardin.



  • Mengamalkan memakan vitamin-vitamin dan garam galian seperti semua vitamin B, asid gamma-linolenic (GLA), minyak ikan, minyak biji rami (linseed oil), selenium, zink, zat besi dan juga antioksida yang mengandungi beta-carotene seperti vitamin C dan E.



  • Makanan dan minuman yang perlu anda kurangkan atau elak adalah seperti minuman beralkohol, minuman berkafein dan bergas, makanan yang telah diproses, lemak pejal seperti mentega serta garam dan gula.



Kita semua mempunyai jenis rambut yang berlainan dan sudah pasti cara pemakanan juga berbeza. Berikut adalah rajah menunjukkan makanan-makanan yang diperlukan menurut jenis rambut (lihat rajah di atas).
Selain daripada kekurangan zat-zat makanan, kerosakan pada rambut dan kulit kepala boleh juga disebabkan oleh faktor-faktor lain. Faktor-faktor seperti terlalu kerap mengeringkan rambut dengan pengering rambut, air yang mengandungi klorin dan terdedah di dalam bilik yang berhawa dingin pasti akan membuatkan rambut anda kering dan tidak bermaya.
Rawatan kemoterapi dan radioterapi, pengambilan ubat-ubatan, tubuh yang lemah akibat kemalangan, ketegangan pada kepala dan leher juga boleh mengakibat rambut tidak sihat dan gugur.
Faktor-faktor dalaman lain yang boleh menyebabkan rambut tidak bermaya termasuk masalah tiroid, penurunan berat badan disebabkan pengamalan diet yang keterlaluan, kegelisahan berterusan, tekanan perasaan serta kurang rehat dan tidur yang mencukupi.
Untuk mendapatkan rambut ikal mayang, anda perlu mengamalkan cara hidup yang sihat kerana bukan sahaja rambut anda yang akan mendapat manfaatnya tetapi juga keadaan fizikal dan mental anda.

No comments:

Post a Comment